Berakhinya Bulan Ramadan

Tuesday, September 7, 2010

Ramadan akan berakhir dua hari lagi.Kita akan merayakan hari kemenangan ini pada hari Jumaat.Ramadan bulan yang mulia.Ramadan bulan yang berkah dan penuh bermakna kepada umat Islam.Sempatkah kita berjumpa bulan Ramadan yang akan datang. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah panjangkan umur kita, agar kita dapat bertemu bulan rahmat ini untuk tahun hadapan.

Saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua rakan-rakan yang mengenali saya. Salah silap, terkasar bahasa harap dimaafkan..

CONTOH BACAAN KHUTBAH

Thursday, June 3, 2010

Lihat contoh bacaan khutbah :


PENGISIAN DAN TEKNIK PENYAMPAIAN KHUTBAH PERLULAH BERKESAN

Wednesday, June 2, 2010

KHUTBAH Jumaat wajar dimanfaatkan sesuai dengan kefarduannya terhadap seluruh umat Islam lelaki yang baligh untuk dijadikan medan muhasabah mingguan yang berkesan.

Mesej yang disampaikan biar berpijak di bumi nyata, segar, padat dan penuh penghayatan. Peluang dakwah secara lisan itu amat berharga andai diolah dan disampaikan dengan pendekatan serta pengisian mantap.

Dua aspek perlu diberi perhatian jika khutbah Jumaat mahu dimanfaatkan pertama, setiap jemaah perlu hadir awal dan mendengar khutbah sepenuhnya dan keduanya, penyampaian serta pengisian mesti menarik, menyentuh persoalan yang relevan dan semasa.

Umumnya, penyampaian khutbah hari ini kurang memuaskan. Khutbah disampaikan gagal menarik perhatian khalayak pendengar wajib yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Setiap jemaah yang datang ke masjid pada Jumaat fokusnya ialah menunaikan sembahyang, bukan mendengar khutbah. Oleh itu, setiap Jumaat walaupun azan sudah dilaungkan, khutbah mula dibacakan, masjid masih tidak penuh.

Masjid hanya terisi penuh apabila sembahyang mula dilaksanakan. Maknanya, ramai jemaah yang tidak mendengar khutbah sepenuhnya atau langsung tidak mendengar khutbah Jumaat.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada Jumaat, maka bersegera kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumaah, ayat 9)

Fardu Jumaat bermula dengan khutbah dan disusuli solat. Semua pekerjaan keduniaan mesti ditinggalkan. Seruan menyegerakan hadir ke masjid sebaik azan dilaungkan jelas menunjukkan setiap hadirin mesti mendengar khutbah Jumaat dan memberikan tumpuan terhadap apa yang disampaikan khatib.

Fokus terhadap khutbah Jumaat penting sehingga setiap jemaah ditegah bercakap. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada temanmu, ketika imam sedang berkhutbah ‘diamlah engkau’, maka sesungguhnya kamu sudah tidak dapat pahala Jumaat.”

Aspek kedua yang perlu diperbaiki untuk memanfaatkan sepenuhnya khutbah Jumaat ialah pengisian dan penyampaiannya. Selama ini khutbah Jumaat menjadi ubat mujarab untuk melelapkan mata. Sebaik khatib memulakan khutbahnya, kelihatan jemaah tersengguk-sengguk melayan tidur malah, ada yang sampai berdengkur. Sedikit benar yang betul-betul memberikan tumpuan terhadap amanat disampaikan khatib.

Demi memartabatkan khutbah Jumaat sebagai wacana berkesan memperbaiki masyarakat Islam, pengisian khutbah Jumaat perlu diperhalusi sebaiknya oleh pihak berkenaan supaya apa disampaikan setiap minggu melalui mimbar benar-benar menyentuh dan menyedarkan sidang Jumaat.

Pengisian khutbah mestilah berasaskan peringatan al-Quran iaitu seruan supaya sentiasa mengingati Allah atau dengan kata lain mengajak masyarakat sentiasa peka terhadap Islam dan menjauhi daripada dipengaruhi bisikan dunia yang melampau.

Persoalan semasa yang berlaku, baik dari segi sosial, ekonomi, moral mesti disentuh dan diberikan cadangan penyelesaian berpaksikan ajaran Islam. Contohnya, persoalan salah laku jenayah, budaya rempit, gejala sosial, rasuah atau politik wang serta budaya terlalu memuja hiburan.

Semua mesti disentuh, dikupas dan diterangkan bagaimana penyelesaiannya berpandukan Islam. Sebelum ini pernah khutbah membicarakan kebaikan memakan ulam dan buah-buahan tempatan, membicarakan pertanian sawah padi sedangkan ia dibaca di tengah bandar besar.

Nabi SAW mengingatkan dalam hadisnya bermaksud: “Berilah khutbah kepada manusia berdasarkan tahap pemikiran mereka.”

Khutbah Jumaat bukan ucapan biasa, sebaliknya ucapan yang penting kerana dari segi feqah, dua khutbah Jumaat itu menggantikan dua rakaat sembahyang Zuhur. Malah, khatib juga disyaratkan dalam keadaan wuduk seperti ketika bersembahyang.

Ini menggambarkan khutbah itu mesti disampaikan dengan penuh penghayatan, hati yang bulat kerana Allah dan bukan sekadar hanya membaca teks khutbah secara sambil lewa. Oleh itu, teknik dan teknikal penyampaian khutbah perlu diperbaiki seperti nada penyampaian.

Mutu pembesar suara yang baik, liputannya pula mestilah memenuhi ruang diduduki jemaah perlu diambil kira sebagai usaha memantapkan media khutbah Jumaat ini dan seterusnya memaksimumkan manfaatnya.

Kegagalan untuk memanfaatkan khutbah Jumaat lama-kelamaan akan memberi kesan kepada kehadiran orang ramai ke masjid pada hari Jumaat. Langkah dicadangkan perlu diperhatikan dan diperhalusi supaya dapat diperbaiki serta dilakukan penambahbaikan segera.

Sumber oleh : http://blog.re.or.id/tata-cara-khutbah-pada-shalat-jumat.htm